Belina Shop

Kerajaan Perpaduan - Nik Aziz "Boleh Tapi Dengan Syarat"

KOTA BHARU 27 April – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat Barisan Nasional (BN) memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata dalam blog anaknya, Nik Abduh: ‘‘Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.

‘‘Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.’’

Nik Abduh menjelaskan jawapan tersebut diungkapkan oleh bapanya ketika beliau membangkitkan soal penerimaan kerajaan BN dan pakatan pembangkang yang disifatkan kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam - ketika mereka berdua sedang berbual.

Bagaimanapun, Nik Abduh ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu memberitahu, beliau akan hanya menjelaskan semuanya dalam blog tersebut pada masa akan datang.

Dalam blognya itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan menyifatkan, pembantu-pembantu ayahnya memberikan gambaran salah tentang situasi yang berlaku demi meraih keuntungan politik sehingga menunjukkan seolah-olah budaya kotor mula menular dalam Pas.

“Justeru, fahami ini bahawa Unity Government yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang ‘berpakaian’ serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara ayahanda saya dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mereka menyangka, mereka telah melakukan kebaikan, sedangkan telah sesat segala usaha mereka di sisi Tuhan. Semoga Allah membalas mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!” katanya.

Katanya lagi, ia terbukti apabila bapanya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu muzakarah dan kerajaan perpaduan selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan 10 ulama Pas.
Menurutnya, sesetengah pembantu bapanya berasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempatkan diri mereka.

‘‘Bagaimana mereka akan memperolehnya, sedang mereka hanya belajar agama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah-istilah agama yang dihafal, bukan difaqihi?

“Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama Pas di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya.
“Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana ‘keruh’ dan ‘panas’ dengan Abdul Hadi.

‘‘Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka,” jelasnya.

Katanya lagi, ia juga merupakan salah satu usaha para pembantu terbabit untuk mendapatkan restu bagi calon mereka untuk menghadapi pemilihan parti Jun nanti.

“Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar Pas nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

“Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli-ahli Pas di dalam kebebasan memilih,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (28 April 2009)
nota kecil: dulu kata bolehlah dengan syarat itu ini nak kementerian itu ini. Tetapi sekarang ni? Dah dua kali mengulangi yang dia tetap akan menolak cadangan kerajaan pepaduan ini. Nyata sudah Nik Aziz tidak mempunyai pendirian yang tetap. Semudah itu beliau mengubah keputusannya.

0 comments:

Post a Comment